KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyumbangkan RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak di negeri ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di pejabat SAFA, di sini.
Menurut Japlin, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya dalam menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak di Sabah.
Katanya, dana berkenaan akan membantu memperkukuh program pembangunan bakat selain meningkatkan prestasi pasukan negeri.
“CIS percaya bola sepak mampu menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan generasi muda.
“Justeru, sokongan seperti ini wajar diteruskan demi masa depan sukan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan penting dari segi kewangan dan moral kepada SAFA.
Beliau berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkasa arena bola sepak Sabah, termasuk dalam aspek pembangunan pemain dan pengurusan pasukan.
Dalam pada itu, sumbangan tersebut turut mencerminkan komitmen tinggi CIS dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), khususnya dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini.

