Polis tembak mati suspek selepas bunuh adik di Tenom
18:03 Mar 31, 2026  |  By SabahKini2
Polis tembak mati suspek selepas bunuh adik di Tenom

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pekebun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak sebanyak lapan kali di bahagian belakang badan.

TENOM: Seorang lelaki maut selepas ditembak polis dalam satu kejadian tegang yang turut menyaksikan adik kandungnya terbunuh dalam insiden di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pekebun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak sebanyak lapan kali di bahagian belakang badan.

Suspek yang juga abang mangsa, berusia 57 tahun, dilaporkan menggunakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk. Lelaki itu turut dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.54 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, sebaik tiba di tempat kejadian, penduduk memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut untuk menembak sesiapa sahaja yang menghampiri kawasan tersebut.

“Polis kemudian membuat kepungan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun dia enggan berbuat demikian.

“Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar, namun dia masih tidak memberikan kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, keadaan menjadi tegang apabila suspek bertindak berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah anggota polis yang berada berhampiran tingkap rumah.

“Bagi mempertahankan diri, seorang pegawai polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek.

“Suspek kemudian rebah di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Pemeriksaan lanjut mendapati senjata bakakuk milik suspek masih mengandungi satu butir peluru hidup dalam ‘chamber’.

Polis turut merampas beberapa barangan termasuk laras senjata api, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Siasatan lanjut masih diteruskan.

Comment