KUCHING: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengambil langkah lebih tegas apabila memperketat kawalan penggunaan bahan api bersubsidi RON95 dan diesel, khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha serius membanteras ketirisan yang sekian lama menjadi isu, selain memastikan bekalan bahan api terus mencukupi untuk rakyat tempatan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, had pengisian kini ditetapkan mengikut kategori kenderaan, dengan pelaksanaan bermula serta-merta di semua stesen minyak terlibat.
Bagi kenderaan ringan seperti kereta persendirian, teksi, van dan pacuan empat roda, pengisian dihadkan kepada 50 liter bagi setiap transaksi.
Sementara itu, kenderaan komersial sederhana dengan berat tanpa muatan tidak melebihi tiga tan dihadkan kepada 100 liter, manakala kenderaan berat melebihi tiga tan dibenarkan sehingga maksimum 150 liter.
Menurut beliau, sistem di stesen minyak telah diselaraskan secara automatik, namun pengguna yang mempunyai keperluan khas masih boleh membuat permohonan di kaunter.
Dalam tinjauan di sebuah stesen minyak di Bau, KPDN turut mengesahkan bahawa sebanyak 556 stesen di Sabah, Sarawak dan Labuan kini berada di bawah pemantauan ketat pihak berkuasa.
Daripada jumlah itu, Sarawak mencatatkan bilangan tertinggi dengan 283 stesen, diikuti Sabah sebanyak 266 dan Labuan tujuh stesen.
Lebih 2,400 pegawai penguat kuasa bersama agensi berkaitan telah digerakkan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan baharu ini.
Dalam masa sama, kerajaan juga tidak lagi berkompromi terhadap penyalahgunaan bahan api bersubsidi oleh kenderaan asing apabila penjualan RON95 kepada kenderaan luar negara kini dilarang sepenuhnya.
Sekatan turut diperluaskan dengan pengenalan kawalan penggunaan kad kredit dan debit asing di terminal layan diri, yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
Langkah ini selari dengan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), yang memberi fokus kepada usaha membanteras penyeludupan serta penyelewengan bahan api bersubsidi di seluruh negara.
KPDN memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan, termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara bagi individu, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Orang ramai turut diseru tampil membantu pihak berkuasa melalui penyaluran maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan menerusi saluran rasmi yang disediakan.
Kerajaan menegaskan bahawa langkah ini perlu bagi memastikan hak rakyat terhadap subsidi terus terpelihara, di samping menutup ruang kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

