Pemandu wanita tersepit dalam kemalangan dengan lori di Papar
17:04 Apr 01, 2026  |  By SabahKini2
Pemandu wanita tersepit dalam kemalangan dengan lori di Papar

Dalam kejadian kira-kira 7.13 malam itu, mangsa yang memandu kereta kompak dilaporkan tersepit di dalam kenderaannya sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

PAPAR: Seorang wanita cedera selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Kampung Andus, berhampiran sebuah kilang bata, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.13 malam itu, mangsa yang memandu kereta kompak dilaporkan tersepit di dalam kenderaannya sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Jentera bomba tiba pada 7.24 malam selepas menempuh jarak kira-kira 10 kilometer.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta kompak dan lori 10 tan menyebabkan seorang wanita dewasa tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Papar dengan ambulans.

Menurutnya, pemandu lori, seorang lelaki dewasa, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat itu melibatkan tujuh anggota bersama dua jentera, iaitu sebuah LFRT dan Rapid Response Vehicle (RRV), sebelum ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat.

Nelson turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, terutama di kawasan kampung dan laluan berisiko tinggi.

Comment