Inkues Zara Qairina masuk fasa baharu dengan kemunculan saksi baharu
17:04 Apr 01, 2026  |  By SabahKini2
Inkues Zara Qairina masuk fasa baharu dengan kemunculan saksi baharu

Peguam yang mewakili ibu mangsa, Shahlan Jufri, memaklumkan saksi ke-65 itu merupakan pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar.

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, hari ini menyaksikan perkembangan baharu apabila seorang saksi kanak-kanak yang sebelum ini tidak tersenarai tampil memberi keterangan di Mahkamah Koroner, di sini.

Peguam yang mewakili ibu mangsa, Shahlan Jufri, memaklumkan saksi ke-65 itu merupakan pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar.

Menurut beliau, saksi berkenaan mengemukakan kronologi baharu yang berbeza daripada keterangan saksi-saksi sebelum ini, berkaitan insiden yang berlaku pada 16 Julai tahun lalu.

“Pada tahun lepas, saksi kanak-kanak telah selesai memberi keterangan. Namun tahun ini, muncul pula seorang saksi dengan cerita baharu dan kronologi yang berbeza sama sekali,” katanya kepada media selepas prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Tambah Shahlan, saksi tersebut hanya mendedahkan perkara itu kepada ibunya secara umum kira-kira dua hingga tiga bulan selepas kejadian.

Susulan itu, ibu saksi telah menghubungi seorang guru sebelum keterangan lanjut diambil oleh pihak polis pada tahun ini.

Prosiding bagi keterangan saksi tersebut masih belum selesai dan akan disambung esok.

Dalam pada itu, peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak lain dalam kes berkaitan berkata saksi berkenaan dipercayai individu terakhir yang bersama mangsa sebelum kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan, saksi melihat Zara berjalan mundar-mandir berhampiran tandas asrama sebelum menyapanya dan berbual selama kira-kira 10 minit.

“Saksi kemudian membawa mangsa kembali ke bilik asrama dan melihatnya masuk serta menutup pintu.

“Bagaimanapun, sekitar pukul 1 hingga 2 pagi, ketika saksi menuju ke Blok A untuk ke bilik rakannya, dia ternampak semula mangsa di koridor tingkat tiga,” katanya.

Joan turut memaklumkan bahawa ibu kepada saksi dijangka akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding yang akan disambung esok.

Untuk rekod, Zara Qairina, 13 tahun, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira pukul 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Terdahulu, pada 8 Ogos 2025, pihak sama turut mengeluarkan perintah bagi menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Comment