Inkues Zara Qairina: Keterangan saksi baharu tidak ubah kesimpulan pakar
22:04 Apr 02, 2026  |  By SabahKini2
Inkues Zara Qairina: Keterangan saksi baharu tidak ubah kesimpulan pakar

Dr Chua Sze Hung berkata, kenyataan seorang pelajar yang dipercayai individu terakhir berinteraksi dengan mangsa tidak mengubah dapatan beliau.

KOTA KINABALU: Seorang pakar psikiatri forensik mengekalkan kesimpulan bahawa kematian Zara Qairina Mahathir adalah akibat bunuh diri, walaupun selepas meneliti keterangan saksi baharu dalam prosiding inkues.

Dr Chua Sze Hung berkata, kenyataan seorang pelajar yang dipercayai individu terakhir berinteraksi dengan mangsa tidak mengubah dapatan beliau.

Beliau diminta membaca kenyataan saksi kanak-kanak ke-65 oleh pegawai pengendali inkues, Mohd Fairuz Johari.

Menurut Chua, pelajar itu tidak termasuk dalam senarai 40 individu yang ditemu bual bagi penyediaan laporan autopsi psikologi.

“Maklumat ini memberi gambaran lebih jelas mengenai keadaan mental si mati sebelum kejadian, namun saya kekal dengan kesimpulan bahawa ia adalah bunuh diri,” katanya.

Chua berkata, remaja berusia 13 tahun tanpa kecacatan intelektual lazimnya memahami bahawa tindakan terjun boleh membawa maut.

Beliau turut menolak kemungkinan mangsa ditolak, dengan menyatakan tiada bukti menyokong dakwaan itu.

“Saya tidak menemui maklumat menunjukkan si mati ditolak, dan laporan pakar patologi forensik juga menyatakan adalah tidak mungkin mangsa terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak,” katanya.

Chua berkata, penilaiannya dibuat secara retrospektif dan konservatif, selain tidak berpeluang menemu bual mangsa.

“Tidak adil untuk membuat diagnosis tanpa maklumat mencukupi bagi memenuhi kriteria penyakit mental,” katanya.

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama SMKA Tun Datu Mustapha pada 16 Julai tahun lalu sebelum meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

Prosiding inkues bersambung petang ini.

Comment