KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan kepentingan penggunaan data dan penyelidikan dalam merangka dasar yang lebih berkesan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara serta pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.
Menurutnya, pemerkasaan produk tempatan Sabah turut menjadi antara fokus utama dalam usaha merancakkan ekonomi negeri.
“Ini termasuk meningkatkan kualiti, penjenamaan serta kebolehpasaran produk di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Produk tempatan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dan perlu diberi sokongan berterusan agar mampu bersaing di pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah di pejabatnya, pada Rabu.
Masidi menjelaskan, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada hala tuju pembangunan serta strategi ekonomi Sabah, termasuk pembentangan kajian dan cadangan dasar oleh IDS Sabah.
Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan IDS Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan setiap dasar yang dirangka mampu memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul membentangkan cadangan “Mekanisma Pelaksanaan, Sumber Pendapatan Baharu” yang memfokuskan kepada usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri.
Menurutnya, pendekatan itu turut merangkumi pengurusan aset secara strategik serta penerokaan sektor berimpak tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tradisional.
Turut hadir, Ketua Pegawai Penyelidikan IDS Sabah, Victor Sikain bersama delegasi institut berkenaan.

