SEMPORNA: Operasi Bersepadu yang dilaksanakan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah ini berjaya merekodkan jumlah kompaun dan rampasan dianggarkan mencecah RM680,250, sejak semalam.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi tersebut menumpukan kepada pematuhan pelesenan premis khususnya dalam sektor pelancongan, selain membanteras pelbagai aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan serta imej Semporna.
Menurut beliau, sebanyak 165 notis dan kompaun telah dikeluarkan hasil pemeriksaan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan yang terlibat.
“Operasi ini turut meliputi kesalahan di bawah undang-undang imigresen, perniagaan, pekerjaan, kastam serta hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi berkenaan, seramai 269 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah digerakkan.
Sebanyak 40 buah resort dan premis perniagaan diperiksa melibatkan kawasan bandar, perairan, penempatan setinggan serta kampung sekitar Semporna.
Hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati 28 daripada 38 individu yang diperiksa adalah pendatang tanpa izin (PTI) dan telah ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja mengeluarkan 32 kompaun berkaitan pelanggaran Akta Kerja 1955, diikuti sembilan kompaun oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta lapan notis dan kompaun oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
Majlis Daerah Semporna turut mengeluarkan 33 kompaun melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen serta pelanggaran syarat premis, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengeluarkan 49 notis berkaitan aspek keselamatan kebakaran.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula mengeluarkan tujuh kompaun, manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja.
Turut dirampas adalah hasil hidupan liar seperti daging babi, kura-kura dan burung murai yang dianggarkan bernilai RM1,300 oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Mengulas lanjut, Victor berkata kejayaan operasi ini membuktikan kerjasama erat antara pelbagai agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
“Operasi seperti ini akan diteruskan secara berterusan di bawah Op SANGGAH bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara, selain mengekang jenayah rentas sempadan di Sabah Timur,” katanya.

