PENAMPANG: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan polis ketika dipercayai sedang menunggu pembeli dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan di Bundusan, Penampang, malam tadi.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah selepas didapati berkelakuan mencurigakan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil, berkata serbuan dijalankan hasil risikan susulan maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua plastik hitam dipegang suspek yang mengandungi beberapa paket kecil berisi serbuk disyaki ekstasi serta ketulan hablur jernih dipercayai ketamin,” katanya.
Menurutnya, jumlah rampasan dianggarkan seberat 108.71 gram ekstasi dan 5.24 gram ketamin dengan nilai kira-kira RM2,800 berdasarkan harga pasaran.
Siasatan awal mendapati suspek berada di lokasi berkenaan untuk menunggu pembeli sebelum diberkas polis.
Beliau berkata, suspek turut membawa pihak berkuasa ke sebuah kondominium di Kota Kinabalu, namun pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang bahan terlarang lain.
“Turut dirampas sebuah motosikal dan telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan dadah melalui kaedah ‘buang dan ambil’ di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang serta aktif sejak November tahun lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

