TAWAU: Seorang pengawal keselamatan wanita maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bombalai–Merotai, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa, Jumahirah Ramalan, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlelap ketika memandu sebelum kenderaannya memasuki laluan bertentangan di satu selekoh.
“Kereta dipandu mangsa kemudian bertembung dengan Proton Saga yang dipandu wanita berusia 35 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan mangsa berpusing semula ke laluannya sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dipandu wanita berusia 31 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Pemandu Proton Saga dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan perut, manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan serius.
Jasmin berkata semakan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu sah dan dipercayai mengantuk selepas tamat bertugas di Hospital Tawau.
Tambahnya, kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka kenderaan pikap terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin, berkata sembilan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Operasi mengeluarkan mangsa selesai dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.04 pagi selepas keadaan disahkan terkawal,” katanya.

