Operasi DBKK: 23 pondok haram ranap sekelip mata
18:04 Apr 03, 2026  |  By SabahKini2
Operasi DBKK: 23 pondok haram ranap sekelip mata

Menurut DBKK, hasil pemeriksaan mendapati semua struktur sementara itu dibina menggunakan kanvas dan batang kayu di kawasan berbukit serta curam.

KOTA KINABALU: Sebanyak 23 struktur haram di kawasan hutan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan dirobohkan dalam operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), hari ini.

Operasi kira-kira jam 1.45 petang itu membabitkan 11 anggota penguat kuasa DBKK dengan kerjasama enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Manggatal serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Menurut DBKK, hasil pemeriksaan mendapati semua struktur sementara itu dibina menggunakan kanvas dan batang kayu di kawasan berbukit serta curam.

Katanya, struktur berkenaan dipercayai dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin (PTI).

“Kawasan itu juga tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik selain berada dalam keadaan tidak terurus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, semua struktur haram berkenaan diroboh dan dialihkan. Dalam operasi sama, seorang lelaki dewasa turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Operasi berakhir kira-kira jam 6 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

DBKK menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penempatan haram di bandar raya ini.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak mendirikan sebarang struktur tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan penempatan haram juga amat dialu-alukan bagi membolehkan tindakan awal diambil.

Comment