KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan geran khas negeri itu.
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, penangguhan itu bersifat prosedural dan mengekalkan status quo sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.
Beliau berkata, keputusan itu tidak mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi, termasuk semakan bagi Tempoh Terlepas dari 1974 hingga 2021.
“Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40% serta keperluan untuk semakan, justeru semakan bagi tahun semasa tidak seharusnya terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sebelum ini membantah penangguhan tersebut, namun tetap menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.
Katanya, rundingan dengan Kerajaan Persekutuan akan diteruskan bagi mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari.
“Ini proses berterusan dan kita akan terus berbincang untuk mencari penyelesaian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 yang mengiktiraf hak Sabah ke atas 40% hasil bersih Persekutuan.
Menurutnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan komitmen untuk menghormati keputusan itu.
Pendengaran rayuan dijadualkan secara tentatif antara 27 hingga 30 Oktober 2026, manakala e-Review ditetapkan pada 13 April bagi menentukan tarikh sebenar.

