KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki sebuah hospital jantung bertaraf dunia di Likas menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN Sdn Bhd.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu akan dibangunkan di tapak seluas empat hektar yang sudah diwartakan khusus bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama itu dijangka merealisasikan penubuhan dan pengembangan pusat rawatan jantung di negeri ini sekali gus memperkasakan akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Usaha ini diharapkan menjadi kenyataan dan mampu meningkatkan lagi kemudahan rawatan jantung di Sabah,” katanya selepas menyaksikan Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, hari ini.
Kumpulan Yayasan Sabah diwakili Pengarahnya, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya.
IJN pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif IJN Group Sdn Bhd, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib serta Ketua Pegawai Klinikalnya, Datuk Dr Saiful Azmi Yahaya.
Turut dimeterai pada majlis itu ialah MoU antara Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Universiti IJN bagi kerjasama dalam bidang pendidikan kesihatan.
Sementara itu, Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kerjasama berkenaan mencerminkan langkah strategik dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan serta pembangunan modal insan di Sabah.
Beliau berkata, akses kepada rawatan berkualiti tinggi perlu diperluas supaya dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa mengira lokasi geografi.
“Kerjasama ini adalah langkah penting ke arah memperluas kepakaran dan perkhidmatan kardiovaskular ke Sabah melalui pendekatan lebih menyeluruh dan mampan.
“Ia bukan sekadar pembinaan fasiliti, tetapi turut merangkumi ekosistem kesihatan bersepadu termasuk rawatan klinikal, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan kepakaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata, IJN komited untuk berkongsi kepakaran dalam rawatan, teknologi, sistem klinikal dan pengurusan hospital bagi memastikan perkhidmatan yang bakal dibangunkan mencapai standard tinggi serta berteraskan keselamatan pesakit.
Dalam pada itu, Jasnih berkata pembinaan hospital berkenaan akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah, selain menyokong Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II yang kini berdepan kekangan kapasiti.
“Dengan adanya hospital jantung bertaraf tinggi di Sabah, pesakit tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di luar negeri, sekali gus mengurangkan kos perjalanan dan mempercepat akses kepada rawatan pakar,” katanya.

