KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengarahkan semua ikan koi dan spesies daripada keluarga Cyprinidae yang bukan endemik di negeri ini dimusnahkan serta-merta susulan penularan wabak Koi Herpesvirus (KHV).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar berkata, virus berkenaan dikenal pasti sebagai punca utama kematian ikan pelian atau kelah yang dilaporkan di beberapa daerah sejak 1 Ogos tahun lalu.
Menurutnya, arahan pemusnahan itu melibatkan ikan di kawasan tagal, pusat pemeliharaan serta sungai dan perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) biosekuriti.
“Semua ikan terbabit hendaklah dimusnahkan serta-merta dan sebarang pelepasan semula adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kematian besar-besaran ikan pelian dilaporkan di beberapa daerah termasuk Keningau, Tambunan, Tenom, Penampang, Tuaran, Ranau dan Sipitang.
Jamawi berkata, siasatan mendapati penularan berpunca daripada pelepasan ikan asing ke perairan umum tanpa kawalan, khususnya ikan koi dan spesies Cyprinidae bukan tempatan.
Katanya, tindakan itu melanggar prinsip biosekuriti dan memberi kesan serius terhadap spesies tempatan bernilai tinggi seperti ikan pelian.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut menguatkuasakan larangan sementara ke atas semua aktiviti import dan eksport ikan daripada keluarga Cyprinidae, termasuk ikan hidup, benih, induk serta sebarang pemindahan biologi.
“Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan ini mengikut Enakmen Perikanan Darat Sabah,” katanya.
Beliau menambah, keadaan cuaca kemarau ketika ini meningkatkan suhu air sekali gus mengaktifkan virus dan meningkatkan risiko kematian ikan.
Menurut analisis makmal Jabatan Perikanan Sabah, kadar kematian ikan akibat jangkitan KHV boleh mencecah sehingga 80 hingga 100 peratus, terutama dalam suhu air antara 18 hingga 28 darjah Celsius.

