KOTA KINABALU: Aktiviti penyimpanan sisa berbahaya secara haram terus menjadi perhatian apabila Pasukan Polis Marin (PPM) melancarkan dua serbuan menerusi Op Hazard di Sabah, semalam.
Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu menyasarkan dua premis di Penampang dan Sandakan yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah sebagai pusat penyimpanan bateri kereta dan sisa elektronik (e-waste).
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, memaklumkan bahawa serbuan di Penampang membawa kepada rampasan kira-kira lapan tan bateri kereta yang disimpan secara tidak sah.
“Di Sandakan pula, pelbagai barangan e-waste turut dirampas termasuk bateri kereta, peralatan komputer, mesin basuh serta barangan elektrik lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan perniagaan barangan lusuh serta sisa elektronik.
Lebih membimbangkan, semakan oleh pihak LHDN turut mendedahkan terdapat premis yang tidak dapat menyediakan dokumen percukaian lengkap, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap pematuhan undang-undang kewangan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM720,998.
Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti pengurusan sisa berbahaya secara haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam.
Tindakan tegas dijangka akan terus dipergiat bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

