Hajiji mahu pelaksanaan dasar pendidikan lebih efektif di Sabah
18:04 Apr 07, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji mahu pelaksanaan dasar pendidikan lebih efektif di Sabah

Menurutnya, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) perlu diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pendidikan, dengan memberi penekanan kepada peningkatan kualiti pembelajaran dan pengurusan sekolah.

Beliau berkata, usaha itu turut merangkumi pembangunan holistik murid di seluruh negeri bagi memastikan mereka mampu bersaing pada masa depan.

Menurutnya, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) perlu diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Hubungan erat ini penting dalam usaha memperkasa sektor pendidikan negeri, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi JPNS yang diketuai Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin, di Menara Kinabalu, semalam.

Dalam pertemuan itu, Raisin turut membentangkan program utama JPNS bagi tahun ini serta perancangan untuk tahun hadapan.

Taklimat tersebut turut menyentuh perkembangan terkini dan pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar Sabah yang disifatkan memberangsangkan.

Turut hadir beberapa pegawai kanan JPNS serta Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.

Comment