Lelaki ditahan simpan 400 liter diesel tanpa kebenaran
15:04 Apr 08, 2026  |  By SabahKini2
Lelaki ditahan simpan 400 liter diesel tanpa kebenaran

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, Nazatul Shima Karim, berkata pemeriksaan menemukan diesel disimpan dalam dua tong drum biru, dipercayai untuk kegunaan sendiri secara tidak sah.

KUDAT: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki menyimpan kira-kira 400 liter diesel tanpa kebenaran dalam satu serbuan di sebuah stor di Jalan Airport, di sini.

Serbuan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat menerusi Ops Tiris 4.0 yang dijalankan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, Nazatul Shima Karim, berkata pemeriksaan menemukan diesel disimpan dalam dua tong drum biru, dipercayai untuk kegunaan sendiri secara tidak sah.

“Seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai pemilik stor berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran sah.

Menurutnya, operasi itu sebahagian daripada tindakan susulan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Gempur) yang memberi fokus kepada usaha menangani ketirisan barang kawalan di pasaran.

Nazatul Shima berkata KPDN akan terus mempergiat penguatkuasaan, khususnya di kawasan berisiko tinggi termasuk Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Pulau Banggi.

Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN.

Comment