Subsidi diesel Sabah, Sarawak bukan pilih kasih, berasaskan keperluan
15:04 Apr 08, 2026  |  By SabahKini2
Subsidi diesel Sabah, Sarawak bukan pilih kasih, berasaskan keperluan

Menurut beliau, penggunaan kenderaan berenjin diesel seperti pacuan empat roda amat penting bagi menghubungkan kawasan luar bandar ke pusat bandar, selain menyokong aktiviti ekonomi termasuk pertanian dan perikanan.

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan disifatkan sebagai langkah tepat berasaskan keperluan, bukan pilih kasih.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, faktor geografi dan keadaan infrastruktur di negeri ini menjadikan diesel sebagai sumber utama pergerakan harian rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.

Menurut beliau, penggunaan kenderaan berenjin diesel seperti pacuan empat roda amat penting bagi menghubungkan kawasan luar bandar ke pusat bandar, selain menyokong aktiviti ekonomi termasuk pertanian dan perikanan.

“Kita menghargai kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak kerana keperluan di sini berbeza dengan Semenanjung,” katanya kepada Bernama.

Dalam masa sama, Jamawi mengingatkan rakyat agar menggunakan subsidi tersebut secara berhemah serta mengelakkan sebarang penyelewengan.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri sedang berunding dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan petani kecil terus mendapat manfaat daripada subsidi berkenaan.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah menegaskan langkah tersebut tidak wajar dianggap sebagai tidak adil kepada negeri lain.

Beliau berkata, perbezaan ketara dari segi kemudahan asas, kualiti jalan raya dan kos logistik yang tinggi di Sabah perlu diambil kira dalam penetapan dasar subsidi.

“Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau sejauh kira-kira 450 kilometer boleh mengambil masa hampir 10 jam berikutan keadaan jalan yang mencabar, berbanding perjalanan di Semenanjung,” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pengekalan subsidi diesel penting bagi mengelakkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

Katanya, sebarang kenaikan harga bahan api berpotensi memberi kesan rantaian kepada kos pengangkutan dan seterusnya harga barangan.

“Realitinya, harga barangan di Sabah sememangnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick pula berpandangan Sabah wajar menerima manfaat subsidi tersebut memandangkan negeri itu merupakan antara pengeluar utama minyak dan gas negara.

Beliau menegaskan, sumbangan hasil bumi Sabah kepada pembangunan negara perlu diterjemahkan dalam bentuk manfaat langsung kepada rakyat negeri itu.

Dalam pada itu, beliau menambah, isu tuntutan hak Sabah dan Sarawak tidak menjejaskan semangat kerjasama serta perpaduan antara wilayah dalam Malaysia.

Comment