KOTA KINABALU: Sabah kini diberi tumpuan strategik sebagai antara wilayah utama dalam memperkukuh agenda ekonomi Bumiputera selaras dengan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata negeri itu terus memainkan peranan penting sebagai penyumbang kepada ekonomi negara dan berada pada landasan pertumbuhan yang stabil.
Menurut beliau, prestasi ekonomi Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada RM84.30 bilion pada tahun 2024.
“Pertumbuhan ini turut dipacu oleh sektor pelancongan yang mencatat peningkatan 4.2 peratus dengan nilai RM13.7 bilion, sekali gus menyumbang kira-kira 12 peratus kepada ekonomi negeri,” katanya.
Dalam masa sama, Sabah turut meneroka potensi baharu menerusi pembangunan Ekonomi Biru, yang merangkumi sektor seperti perikanan bernilai tinggi, tenaga boleh baharu marin, akuakultur serta pengurusan sumber marin secara mampan.
Beliau menegaskan perkembangan ini membuktikan Sabah bukan sahaja mempunyai asas ekonomi yang kukuh, malah berada pada kedudukan strategik untuk berkembang dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Sehubungan itu, pelaksanaan PuTERA35 dilihat sebagai pemangkin penting dalam mempercepat peralihan ekonomi negeri melalui pendekatan yang lebih berfokus dan bersasar.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, sempena Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 yang berlangsung di sini hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata PuTERA35 yang digerakkan melalui tiga teras utama memberi penekanan khusus kepada pengukuhan pembangunan Sabah dan Sarawak, dengan fokus memperluas penyertaan dalam sektor bernilai tinggi.
“Bagi Sabah, pendekatan ini selari dengan keperluan untuk memperkukuh sektor sedia ada seperti pelancongan, perkhidmatan dan peruncitan, di samping membuka ruang kepada sektor baharu berpotensi tinggi seperti Ekonomi Biru.
“Tumpuan kini bukan lagi sekadar memperluas penyertaan, tetapi mempercepat penskalaan perniagaan, meningkatkan produktiviti serta memperluas penglibatan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” katanya.
Tambah beliau, melalui pendekatan ini, syarikat Bumiputera di Sabah berpeluang meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai serta menyumbang secara lebih signifikan kepada ekonomi negeri dan negara.

