KUDAT: Aktiviti penyelewengan bahan api di perairan Sabah terus digempur pihak berkuasa apabila seorang lelaki tempatan diberkas bersama 800 liter minyak diesel dalam Op Tiris 4.0 di Pulau Banggi, hari ini.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kudat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat di laluan utama Karakit–Batu Layar.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih.
“Hasil pemeriksaan menemukan empat tong drum berisi minyak diesel dengan anggaran keseluruhan 800 liter.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan atau pengangkutan bahan api terbabit sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, pihak berkuasa turut menyita kenderaan serta minyak diesel berkenaan untuk tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau menegaskan, usaha membanteras penyelewengan barang kawalan khususnya bahan api akan terus dipergiat kerana aktiviti itu memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Penguatkuasaan akan dilaksanakan secara lebih agresif terutama di Pulau Banggi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi kegiatan penyeludupan bahan api,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PPM dan APMM atas kerjasama strategik yang memastikan kejayaan operasi berkenaan.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi yang disediakan.

