TELUPID: Sabah menyasarkan peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri kepada 40 peratus menjelang 2030 menerusi usaha menaik taraf sistem pengairan serta memulihkan kawasan sawah terbiar.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata sasaran itu mampu dicapai sekiranya kira-kira 4,000 hektar sawah padi terbiar dapat dibangunkan secara berperingkat.
Beliau berkata pembangunan kawasan tersebut berpotensi meningkatkan SSL beras negeri sehingga 20 peratus.
“Jika kita dapat membangunkan sawah padi terbiar seluas kira-kira 4,000 hektar, sekurang-kurangnya ia mampu meningkatkan SSL sebanyak 20 peratus.
“Ini bermakna menjelang 2030, SSL boleh mencecah sekitar 40 peratus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus di Skim Pengairan Trusan Sapi, di sini hari ini.
Jamawi berkata pembangunan kira-kira 3,000 hektar di kawasan Trusan Sapi sahaja dijangka mampu menyumbang peningkatan SSL sebanyak 10 peratus sekiranya sistem pengairan dipertingkatkan.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi libat urus bersama petani, pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta delegasi Kementerian Ekonomi yang diketuai Ketua Pengarah Bahagian Pertanian, Datuk Zul Hadi Awang bagi memuktamadkan konsep reka bentuk projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur pengairan serta saliran di kawasan berkenaan.
Selain aspek infrastruktur, beliau turut menekankan kepentingan mekanisasi pertanian serta penambahan kapasiti kilang padi bagi menyokong peningkatan pengeluaran pada masa hadapan.
Sementara itu, Jamawi turut mengadakan lawatan tinjauan ke Ladang Unggas Bantayan di Tamparuli milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi melihat pelbagai ternakan termasuk ayam penelur, ayam kampung kacukan, ayam mutiara, burung puyuh dan ayam turki.
Beliau juga melawat Ladang FarmBay di Tuaran yang menternak itik dan burung puyuh penelur milik usahawan tempatan.
Turut hadir Pembantu Menteri I dan II kementerian berkenaan, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani serta beberapa pegawai kanan agensi berkaitan.

