Neopetro meterai LOA AHTS bagi operasi luar pesisir 2026-2027
22:04 Apr 10, 2026  |  By SabahKini2
Neopetro meterai LOA AHTS bagi operasi luar pesisir 2026-2027

Dalam perkembangan lain, Neopetro turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pelita Akademi Sdn Bhd bagi memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam industri berkenaan.

KOTA KINABALU: Penganugerahan kontrak bagi sebuah Kapal Tunda Bekalan Pengendalian Sauh (AHTS) untuk operasi luar pesisir di Sabah dilihat mampu mengukuhkan ekosistem sokongan industri minyak dan gas di negeri itu.

Pengarah Urusan Neopetro Sdn Bhd, Mahmud Mokti, berkata Surat Setuju Terima (LOA) yang ditandatangani antara Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited, SEA Hibiscus Sdn Bhd dan Neopetro mencerminkan keyakinan serta komitmen bersama dalam kalangan pemain industri.

Beliau berkata kontrak itu melibatkan penyediaan sebuah kapal AHTS bagi tempoh 2026 hingga 2027.

“Ia bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan kami, tetapi juga kepercayaan bersama untuk membina ekosistem sokongan luar pesisir yang lebih kukuh,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu, Jumaat.

Mahmud berkata perkembangan itu sebahagian daripada usaha lebih luas Neopetro dalam menyumbang kepada masa depan tenaga negara.

Katanya, pertumbuhan sektor berkenaan perlu dipacu keupayaan, kerjasama dan komitmen terhadap kecemerlangan.

Dalam perkembangan lain, Neopetro turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pelita Akademi Sdn Bhd bagi memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam industri berkenaan.

Beliau berkata kerjasama itu bertujuan melahirkan lebih ramai bakat maritim tempatan dengan meningkatkan kemahiran serta membuka peluang kerjaya dalam sektor luar pesisir.

“Inisiatif ini juga memastikan manfaat pertumbuhan industri dapat dinikmati masyarakat, khususnya di Sabah,” katanya.

Mahmud berkata kemampanan jangka panjang industri bergantung kepada pembangunan modal insan selain pelaburan dalam infrastruktur dan aset.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun.

Turut hadir wakil industri termasuk PETRONAS, SMJ Energy Sdn Bhd dan Sabah Oil, Gas & Services Council.

Comment