Hajiji utamakan projek segera, mahu manfaat cepat kepada rakyat Sabah
16:04 Apr 13, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji utamakan projek segera, mahu manfaat cepat kepada rakyat Sabah

Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menekankan pelaksanaan segera projek kecil yang mudah disiapkan dan memberi impak langsung kepada rakyat.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata projek keperluan mendesak dan boleh dilaksanakan segera akan diberi keutamaan, khususnya melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan rakyat menerima manfaat pembangunan tanpa kelewatan.

Menurutnya, Sabah menerima peruntukan RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), melibatkan 1,233 projek dan program.

“Ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan Sabah terus membangun selaras aspirasi Kerajaan MADANI dan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu.

Hajiji turut mengarahkan pemantauan lebih kerap terhadap pelaksanaan projek bagi mengelakkan kelewatan.

Katanya, isu seperti peruntukan, tanah dan utiliti perlu ditangani segera melalui kerjasama antara agensi pusat dan kerajaan negeri.

Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menekankan pelaksanaan segera projek kecil yang mudah disiapkan dan memberi impak langsung kepada rakyat.

“Projek sebegini tidak seharusnya lewat, yang lazimnya berpunca daripada isu setempat seperti tanah dan utiliti,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar 2026 akan diteruskan sebagai sebahagian agenda Sabah Maju Jaya.

Katanya, pelaksanaan SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 meletakkan pembasmian kemiskinan sebagai fokus utama.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM12.02 bilion bagi 2026, dengan sebahagian besar disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Pelaburan ini akan merangsang aktiviti ekonomi di seluruh daerah,” katanya.

Hajiji berkata pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi membantu golongan rentan, termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).

Menurutnya, fokus pembangunan negeri kekal pada tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, di samping memperkukuh infrastruktur serta jaringan hijau.

Beliau turut menegaskan kepentingan pelaporan projek tertangguh bagi memastikan isu pelaksanaan dapat diselesaikan segera.

“Kelewatan projek bukan sahaja menjejaskan rakyat, malah meningkatkan kos kepada kerajaan,” katanya.

Comment