Pakaian Zara Qairina mungkin beri petunjuk penting insiden – pakar forensik
16:04 Apr 13, 2026  |  By SabahKini2
Pakaian Zara Qairina mungkin beri petunjuk penting insiden – pakar forensik

Pakar patologi forensik kanan, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, berkata pemeriksaan terhadap pakaian mangsa merupakan aspek penting dalam siasatan forensik kerana ia boleh membantu menjelaskan mekanisme kejadian.

KOTA KINABALU: Keadaan pakaian Allahyarham Zara Qairina Mahathir berpotensi menjadi petunjuk penting dalam menentukan punca kejadian yang membawa kepada kematiannya, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Pakar patologi forensik kanan, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, berkata pemeriksaan terhadap pakaian mangsa merupakan aspek penting dalam siasatan forensik kerana ia boleh membantu menjelaskan mekanisme kejadian.

Beliau berkata, pakaian boleh memberi gambaran sama ada mangsa mengalami jatuhan dari tempat tinggi atau terdapat tanda-tanda pergelutan seperti koyakan dan kesan tarikan.

“Pakaian boleh menunjukkan bagaimana seseorang itu jatuh, termasuk sama ada terdapat kesan tarikan atau koyakan yang mungkin menunjukkan pergelutan,” katanya ketika memberi keterangan pada hari ke-64 prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa pakaian dan barangan peribadi yang dipakai Zara ketika ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai 2025 telah dipulangkan kepada ibunya pada hari sama sebelum kemudian dirampas semula polis daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada 5 Ogos 2025 bagi siasatan lanjut.

Remaja berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokan harinya.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut diberitahu mengenai penemuan bahan phenytoin dalam tubuh mangsa.

Dr Bhupinder berkata beliau tidak dapat memastikan bagaimana bahan itu diberikan kerana ketiadaan rekod perubatan lengkap, namun menjelaskan ia lazimnya digunakan untuk merawat sawan atau kecederaan otak traumatik.

Beliau bagaimanapun menegaskan penemuan tersebut tidak mengubah punca kematian dan hanya merupakan dapatan sampingan dalam bedah siasat.

Sebelum ini, saksi lain memaklumkan tiada ubat anti-epilepsi dipreskripsikan kepada mangsa ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang tertuduh memohon supaya rekod kemasukan dan dokumen perubatan berkaitan penemuan phenytoin dikemukakan untuk penelitian mahkamah.

Inkues bersambung esok.

Comment