KPDN Sabah tumpas sindiket seleweng diesel, rampasan RM22,745
23:04 Apr 14, 2026  |  By SabahKini2
KPDN Sabah tumpas sindiket seleweng diesel, rampasan RM22,745

Siasatan awal mendapati sindiket mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan hos dan pam elektrik yang diubah suai.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di sini, hari ini.

Pengarahnya, Shahril Nizam Shahidin, berkata operasi kira-kira jam 12.05 tengah hari itu dijalankan hasil risikan Unit Risikan Sabah.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua kenderaan diparkir di pam berasingan dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel secara terancang.

“Kedua-dua kenderaan menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter, dengan anggaran 800 liter diesel bagi setiap satu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan hos dan pam elektrik yang diubah suai.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an gagal mengemukakan dokumen berkaitan, termasuk buku stok serta resit pembelian dan penjualan diesel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan bagi tujuan melakukan kesalahan.

Shahril berkata, rampasan bagi kes pertama melibatkan sebuah SUV, tangki IBC, pam elektrik, hos getah serta diesel bernilai RM12,695.

“Kes kedua pula melibatkan sebuah van, tangki IBC, dua pam elektrik, hos getah serta diesel dengan nilai RM10,050.

“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes ialah RM22,745,” katanya.

Beliau berkata, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana ia menjejaskan kepentingan rakyat dan ekonomi negara.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Comment