KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus mempergiat usaha memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik berkeupayaan teknikal tinggi bagi meneroka sepenuhnya potensi sumber laut dalam di negeri ini.
Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, Sabah memiliki potensi besar dalam penerokaan laut dalam yang masih belum dimanfaatkan secara menyeluruh.
Menurut beliau, kerajaan negeri berhasrat menjalin kerjasama dengan pelabur bereputasi bagi membawa kepakaran dan teknologi dalam bidang berkenaan.
“Langkah ini penting bagi memastikan pengeluaran sumber laut dalam dilaksanakan secara mampan, sekali gus memaksimumkan potensi sektor huluan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Urusan TotalEnergies EP Malaysia, Jerome Saniez di Menara Kinabalu, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Jerome memaklumkan bahawa syarikat berkenaan kini terlibat dalam aktiviti penerokaan ultra laut dalam di perairan Sabah dengan pegangan kepentingan sebanyak 34.9 peratus bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dan Shell.
TotalEnergies merupakan antara lima pemain utama global dalam sektor tenaga dengan portfolio kukuh dalam gas asli cecair (LNG) serta aktiviti huluan yang terus berkembang.
Selain itu, syarikat tersebut turut terlibat dalam lima blok luar pesisir Sabah serta mempunyai kepentingan dalam aset gas utama di luar pesisir Sarawak.
Jerome berkata, pihaknya yakin Sabah merupakan destinasi strategik seterusnya bagi syarikat itu, mengambil kira potensi luar pesisir yang besar, peningkatan permintaan gas, dasar mesra pelabur serta sokongan padu daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Perundangan TotalEnergies EP Malaysia, Solpiee Sahmat serta wakil Serantau Dewan Perdagangan dan Industri Perancis Malaysia bagi Sabah, Jacques Leizerovici.

