TAWAU: Tiga penjawat awam daripada sebuah agensi penguatkuasaan di Sabah direman selama tujuh hari sehingga 22 April selepas disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan kira-kira RM500,000.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, pagi tadi, selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Tawau.
Mereka dipercayai meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori milik beberapa syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan awal mendapati kegiatan itu berlaku antara 2022 hingga 2024 dengan wang rasuah dipindahkan ke akaun bank peribadi masing-masing.
Lebih mengejutkan, suspek dipercayai menerima bayaran bulanan antara RM500 hingga RM30,000 daripada syarikat kenderaan berat.
Dua daripada suspek merupakan pegawai manakala seorang lagi adalah anggota penguat kuasa.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh mengesahkan kes tersebut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

