Putrajaya, Sabah capai kefahaman jelas asas kiraan tuntutan 40% hasil
11:04 Apr 16, 2026  |  By SabahKini2
Putrajaya, Sabah capai kefahaman jelas asas kiraan tuntutan 40% hasil

Menurut Mustapha, data hasil semasa meliputi tempoh 2007 hingga 2025, termasuk rekod daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam, telah melalui proses pertukaran maklumat antara kedua-dua pihak

Kerajaan persekutuan dan Sabah kini mempunyai kefahaman yang lebih jelas berhubung angka serta asas pengiraan tuntutan 40% hasil negeri itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud.

Beliau berkata perkara itu dicapai susulan pertemuan bersama Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun semalam yang membincangkan perkembangan terkini rundingan berhubung tuntutan terbabit.

Menurut Mustapha, data hasil semasa meliputi tempoh 2007 hingga 2025, termasuk rekod daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam, telah melalui proses pertukaran maklumat antara kedua-dua pihak.

“Setakat ini, kedua-dua kerajaan telah mencapai kefahaman yang jelas terhadap angka dan asas pengiraan,” katanya di Facebook sambil menegaskan rundingan dibuat dengan lebih praktikal, berfasa dan berpaksikan kepentingan rakyat Sabah.

Mustapha berkata perkara berkenaan akan terus diperincikan melalui platform Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMA63) bagi memastikan penyelarasan menyeluruh antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Rundingan ini belum selesai tetapi ia sedang bergerak ke hadapan. Yang penting, kita tidak berhenti dan terus berusaha demi memastikan hak Sabah dilaksanakan secara berperingkat tetapi pasti,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lalu menegaskan pentadbirannya kekal komited menghormati dan menunaikan komitmen pemberian tuntutan 40% hasil bersih Sabah kepada rakyat negeri ini.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt tahun lepas memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Namun Mahkamah Rayuan pada 6 April lalu membenarkan permohonan kerajaan persekutuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan taksiran dan pembayaran Pemberian Khas Sabah.

 

Comment