Kes Zara Qairina: Pihak ibu kemuka saksi pakar, Dr Chua akan dipanggil semula
18:04 Apr 17, 2026  |  By SabahKini2
Kes Zara Qairina: Pihak ibu kemuka saksi pakar, Dr Chua akan dipanggil semula

Datuk Rizwandean M Borhan berkata, antara saksi pakar yang akan dipanggil ialah Dr Linthini Gannetion, Dr Tay Eue Kam dan Dr Dzulkiflee Ismail yang merupakan pakar tulisan tangan serta pemeriksa dokumen.

KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili ibu kepada Zara Qairina Mahathir memaklumkan akan memanggil enam saksi pakar dalam prosiding inkues berhubung kematian remaja itu.

Datuk Rizwandean M Borhan berkata, antara saksi pakar yang akan dipanggil ialah Dr Linthini Gannetion, Dr Tay Eue Kam dan Dr Dzulkiflee Ismail yang merupakan pakar tulisan tangan serta pemeriksa dokumen.

Turut akan dipanggil ialah Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa (pakar sains forensik), Dr Noor Aishah Rosli (psikologi kanak-kanak) dan Dr Wong Haw Huo (psikiatri).

Bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini, Rizwandean berkata Pakar Perunding Psikiatri Forensik Dr Chua Sze Hung, yang sebelum ini memberi keterangan sebagai saksi ke-67 pada 2 April, akan dipanggil semula untuk disoal lanjut.

“Selepas saksi ke-70, Dr Chua akan dipanggil balik kerana kami belum menyoalnya. Selepas itu, kami akan memanggil pakar kami. Ini kali pertama kami memanggil saksi pakar dan jumlahnya mungkin 10 atau 11 orang,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, saksi ke-70, juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM), ASP Mohamad Zaidi Abu, mengemukakan beberapa imej perbualan WhatsApp yang diekstrak daripada sebuah telefon bimbit berlabel WF11.

Beliau turut menjelaskan proses pengekstrakan dan analisis bukti digital itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Bagaimanapun, keterangannya yang sedang disoal Timbalan Pendakwa Raya Sofia S Sawayan belum selesai dan akan disambung pada prosiding seterusnya.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, pada 8 Ogos 2025, agensi sama turut mengeluarkan perintah menggali semula kubur mangsa bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Prosiding inkues bersambung pada 18 Mei ini.

Comment