SANDAKAN – Kira-kira 1,000 rumah musnah dalam satu kebakaran besar yang melanda perkampungan atas air Kampung Bahagia di sini awal pagi tadi. Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.32 pagi itu melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar, sekali gus menjadikannya antara insiden kebakaran terbesar di daerah tersebut dalam tempoh kebelakangan ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, operasi pemadaman berdepan cabaran apabila keadaan laut surut menyukarkan pasukan mendapatkan sumber air terbuka. Menurutnya, pasukan bomba terpaksa menggunakan pelbagai sumber termasuk air daripada lori tangki, pili bertekanan milik Kilang IOI serta air laut.
Operasi melibatkan penggunaan empat aliran hos sepanjang 1,000 kaki dengan 12 pancutan air, selain bantuan jentera Fire Rescue Tender dari BBP Kinabatangan yang menggunakan dua aliran hos tambahan sepanjang 400 kaki.
Beliau berkata, api berjaya dikawal dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 12 tengah hari tanpa sebarang laporan kemalangan jiwa. Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson memaklumkan satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Gas pada jam 11 pagi bagi menampung mangsa, selain PPS Dewan PPR Batu Sapi yang dibuka lebih awal pada jam 7 pagi.
Katanya, pembukaan PPS dibuat selepas pemeriksaan mendapati kawasan terjejas tidak lagi selamat didiami, malah pihak berkuasa turut mengisytiharkan bencana kebakaran di daerah itu. Setakat jam 10.30 pagi, seramai 143 ketua isi rumah melibatkan 661 mangsa telah berdaftar di PPS Dewan PPR Batu Sapi, manakala proses pendaftaran masih diteruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

