SANDAKAN: Kerajaan Sabah menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dalam kejadian pada pagi Ahad.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kebakaran itu antara yang terbesar pernah berlaku di kawasan penempatan berkenaan, dengan hampir keseluruhan kampung musnah.
“Hampir 1,000 rumah terjejas dalam kejadian ini,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian dan bertemu mangsa di Dewan PPR Batu Sapi, hari ini.
Beliau berkata setiap ketua isi rumah akan menerima bantuan awal RM2,000, masing-masing RM1,000 daripada kerajaan negeri dan Yayasan Kebajikan Sabah.
“Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa buat masa ini,” katanya.
Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan bantuan kepada mangsa.
Hajiji berkata laporan penuh mengenai jumlah sebenar mangsa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Menurutnya, maklumat awal menunjukkan kira-kira 70% mangsa adalah bukan warganegara, manakala 30% rakyat Malaysia, namun bantuan akan diberikan tanpa mengira status kewarganegaraan.
Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang meneliti cadangan pembangunan semula kawasan itu, termasuk menimbus kawasan bagi pembinaan perumahan, yang dijangka melibatkan kos tinggi.
“Kita akan tunggu laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan dan cadangan Majlis Perbandaran Sandakan sebelum membuat keputusan,” katanya.
Setakat ini, enam pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan mangsa kebakaran.

