SANDAKAN: Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan semula Kampung Bahagia yang musnah dalam kebakaran awal pagi semalam sebagai sebuah perkampungan sah.
Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, bagaimanapun perincian pelaksanaan masih belum dapat diumumkan kerana kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan.
Menurutnya, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk usaha menambak kawasan berkenaan bagi membolehkan pembangunan perumahan baharu dilaksanakan.
“Kita ada perancangan untuk bangunkan kawasan ini sebagai perkampungan sah, namun kita perlu mendapatkan laporan lengkap terlebih dahulu untuk menilai semua cadangan yang dikemukakan.
“Ada juga cadangan untuk menimbus kawasan ini bagi tujuan pembangunan perumahan. Ini melibatkan kos yang agak besar, jadi kita akan lihat cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan untuk menempatkan semula mangsa kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi, hari ini.
Hajiji berkata, cadangan penempatan semula Kampung Bahagia masih dalam penelitian dan keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas semua laporan serta cadangan alternatif diterima dan dinilai.
Katanya, kampung berkenaan sebelum ini merupakan penempatan pelarian yang mendapat kelulusan daripada UNHCR.
“Lebih 70 peratus mangsa yang terlibat adalah bukan warganegara, manakala kira-kira 30 peratus sahaja warganegara.
“Namun kita akan usahakan supaya kawasan ini dapat dijadikan perkampungan yang sah,” katanya.

