Lapan pemancing berdepan detik cemas, seorang maut, seorang lagi belum ditemui
15:04 Apr 20, 2026  |  By SabahKini2
Lapan pemancing berdepan detik cemas, seorang maut, seorang lagi belum ditemui

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa ditemukan kira-kira jam 9.50 malam pada jarak lebih kurang 700 meter dari lokasi bot dilaporkan terbalik akibat dipukul ombak.

KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 18 tahun ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang dalam insiden bot karam di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang semalam.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa ditemukan kira-kira jam 9.50 malam pada jarak lebih kurang 700 meter dari lokasi bot dilaporkan terbalik akibat dipukul ombak.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Daerah Kota Belud menggunakan kenderaan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, bot yang dinaiki lapan individu bagi tujuan memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung berkenaan.

“Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas,” menurut kenyataan itu.

Seorang lagi mangsa berusia 23 tahun masih belum ditemui setakat jam 1 petang tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan oleh pasukan bomba dengan menumpukan pencarian di sekitar lokasi kejadian.

Comment