‘Hilang’ selepas kalah PRN Sabah, Shafie Presiden Warisan muncul di lokasi kebakaran Kg Bahagia Sandakan
05:04 Apr 21, 2026  |  By SabahKini2
‘Hilang’ selepas kalah PRN Sabah, Shafie Presiden Warisan muncul di lokasi kebakaran Kg Bahagia Sandakan

Sejak kekalahan Warisan dalam PRN Sabah, Shafie dilihat kurang menonjol dalam wacana politik arus perdana. Namun kini dia muncul kembali

SANDAKAN – Selepas dilihat ‘menyepi’ daripada radar politik negeri pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kemunculan mengejut Shafie Apdal di lokasi kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan, mencetuskan pelbagai tafsiran mengenai hala tuju politik beliau.

Kehadiran Presiden Parti Warisan Sabah itu dilihat sebagai usaha kembali mendekati rakyat di saat krisis, sekali gus memberi isyarat bahawa beliau masih aktif dalam arena politik negeri. Dalam masa sama, ada pemerhati berpandangan tragedi di Kampung Bahagia turut membuka ruang kepada pihak pembangkang untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menilai serta mengkritik respons kerajaan negeri.

Kawasan setinggan seperti Kampung Bahagia sebelum ini sering menjadi antara kawasan yang mendapat perhatian parti tersebut, sekali gus menjadikan kehadiran pemimpinnya di lokasi bencana sebagai sesuatu yang tidak mengejutkan dari sudut strategi politik dan kebajikan.


Datang dengan baju warisan. Tujuan tak habis berpolitik. Bantuan duit tak mahu bagi.. Air liur saja
Acah-acah dorang yang buat konon. Wal hal semua kerajaan bagi awal

Bekas Ketua Menteri Sabah itu dilihat turun padang meninjau sendiri keadaan mangsa kebakaran yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah di perkampungan atas air berkenaan. Kehadiran beliau, yang sebelum ini jarang kelihatan di pentas awam selepas PRN, terus mengundang perhatian pemerhati politik.

Bagi sebahagian pihak, kemunculan itu dianggap sebagai langkah kemanusiaan yang wajar memandangkan tragedi besar melibatkan ribuan mangsa kehilangan tempat tinggal. Namun bagi pemerhati lain, ia turut dilihat sebagai usaha mengembalikan semula ‘political presence’ Shafie selepas tempoh senyap yang agak ketara.

Sejak kekalahan Warisan dalam PRN Sabah, Shafie dilihat kurang menonjol dalam wacana politik arus perdana. Tiada kenyataan besar atau gerakan agresif direkodkan, berbeza dengan ketika beliau menerajui kerajaan negeri. Justeru, kemunculan di lokasi tragedi ini menimbulkan persoalan sama ada ia sekadar lawatan kebajikan atau sebahagian daripada strategi lebih besar untuk kembali mengukuhkan pengaruh politik.

Dalam landskap politik Sabah yang semakin kompetitif, setiap gerakan pemimpin utama sering ditafsir dalam pelbagai sudut. Kehadiran Shafie di lokasi bencana bukan sahaja membawa mesej solidariti kepada mangsa, tetapi turut membuka ruang spekulasi mengenai hala tuju seterusnya Warisan.

Perkembangan ini juga dilihat berlaku ketika parti itu berdepan cabaran dalaman termasuk kehilangan beberapa pemimpin utama sebelum ini, sekali gus menambah tekanan untuk memperkukuh semula sokongan akar umbi.

 

Kerajaan Sabah umum bantuan

Bagi pihak kerajaan negeri, Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan bantuan segera sebanyak RM2,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.

Menurut beliau, bantuan itu melibatkan RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah sebagai langkah awal membantu mangsa.

“Kebakaran ini agak besar, hampir 1,000 rumah musnah dan kita amat bersimpati dengan nasib mangsa,” katanya selepas melawat lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan di Dewan PPR Batu Sapi.

Selain itu, sumbangan turut disalurkan oleh Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah.

Hajiji turut memaklumkan bahawa laporan penuh mengenai jumlah mangsa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu, dengan anggaran awal menunjukkan sebahagian besar mangsa adalah bukan warganegara. Namun, bantuan tetap disalurkan kepada semua mangsa tanpa mengira status.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri kini sedang meneliti cadangan pembangunan semula kawasan berkenaan, termasuk kemungkinan menimbus tapak bagi pembinaan penempatan baharu, tertakluk kepada laporan teknikal dan kos yang terlibat.

 

Comment