PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti secara menyeluruh proses pendaftaran serta penggantian dokumen pengenalan diri bagi mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, yang berlaku Ahad lalu.
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendekatan itu akan dilaksanakan secara kes demi kes susulan proses pendaftaran mangsa yang kini sedang dijalankan oleh kerajaan Sabah bersama agensi negeri dan Persekutuan.
Beliau menegaskan, keutamaan diberikan kepada mangsa yang benar-benar berstatus warganegara dan kehilangan dokumen penting akibat kebakaran berkenaan.
“Jika insiden seperti ini menyebabkan dokumen hilang, kita akan sediakan dokumen gantian. Namun, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikannya kepada pihak yang tidak layak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kebajikan mangsa terus terbela, termasuk penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) kepada mereka yang terjejas.
Kebakaran besar yang melanda penempatan atas air itu mengakibatkan kira-kira 9,007 penduduk hilang tempat tinggal selepas hampir 1,000 rumah musnah.
Beberapa PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa, antaranya di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi dan Sekolah Kebangsaan Gas.
Difahamkan, kira-kira 70 peratus penduduk yang terjejas merupakan warga asing, manakala selebihnya adalah penduduk tempatan.

