KOTA KINABALU: Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dikesan berlaku di Kundasang, Ranau, pada jam 3.02 pagi tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu berlaku pada koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur, dengan kedalaman 10 kilometer.
Pusat gempa dilaporkan terletak kira-kira lapan kilometer di barat laut Ranau, dan gegaran mungkin dirasai di kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pemeriksaan awal di sekitar Pekan Ranau dan Kundasang tidak menemui sebarang kerosakan.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau telah menjalankan rondaan pada jam 6.35 pagi melibatkan premis kedai, bangunan kerajaan serta kawasan tumpuan awam.
“Hasil makluman orang awam dan pemerhatian di lokasi mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan, selain tiada kecederaan atau insiden susulan direkodkan,” menurut kenyataan itu.
JBPM Sabah berkata, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya kekal tenang dan berwaspada, selain mengelak memasuki bangunan sekiranya terdapat keraguan terhadap tahap keselamatannya.

