Dua lelaki diberkas, syabu RM10,000 disorok dalam lampin pakai buang
15:04 Apr 21, 2026  |  By SabahKini2
Dua lelaki diberkas, syabu RM10,000 disorok dalam lampin pakai buang

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan.

SEMPORNA: Taktik dua lelaki tempatan menyembunyikan dadah dalam lampin pakai buang terbongkar apabila mereka ditahan polis dalam operasi di Jalan Causeway, Bandar Baru Seafront, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah, berkata suspek cuba melarikan diri sebaik pemeriksaan dijalankan, namun berjaya diberkas di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua paket plastik lutsinar bersaiz besar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 100.20 gram dengan anggaran nilai RM10,000.

“Dadah berkenaan disembunyikan dalam lampin pakai buang jenama Huggies yang diletakkan dalam sebuah beg kertas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Pejabat Narkotik Daerah Semporna untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah itu.

“Orang ramai dinasihatkan menjauhi dadah kerana ia bukan sahaja merosakkan masa depan individu, malah memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat.

“Kita juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini,” katanya.

Comment