SEMPORNA: Sebuah bas ekspres dua tingkat musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Jalan Semporna–Kunak, malam tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10.49 malam sebelum pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Sejurus tiba pada jam 11.10 malam, didapati sebuah bas dua tingkat sedang terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera bomba.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.28 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam selepas keadaan disahkan selamat.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu kerana bas berkenaan tidak membawa penumpang ketika insiden berlaku.
Bas terbabit difahamkan dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu bagi tujuan pembaikan sebelum kejadian kebakaran berlaku.

