Gencatan senjata hampir tamat, AS-Iran beri amaran tindakan ketenteraan
15:04 Apr 21, 2026  |  By SabahKini2
Gencatan senjata hampir tamat, AS-Iran beri amaran tindakan ketenteraan

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang mengetuai delegasi ke rundingan dua minggu lalu di Pakistan, mendakwa AS cuba memaksa Iran menerima syarat tidak adil.

TEHRAN: Amerika Syarikat (AS) dan Iran masing-masing memberi amaran kesediaan untuk kembali berperang ketika tempoh gencatan senjata hampir tamat, di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai rundingan damai yang dijadualkan disambung semula di Pakistan.

Rumah Putih memaklumkan Naib Presiden AS, JD Vance, bersedia untuk kembali ke Islamabad bagi menghadiri pusingan kedua rundingan yang bertujuan menamatkan konflik di Timur Tengah yang turut memberi kesan kepada pasaran global.

Bagaimanapun, Tehran belum mengesahkan penyertaannya dalam rundingan tersebut dan menuduh Washington melanggar gencatan senjata melalui sekatan terhadap pelabuhan Iran serta penyitaan sebuah kapal.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang mengetuai delegasi ke rundingan dua minggu lalu di Pakistan, mendakwa AS cuba memaksa Iran menerima syarat tidak adil.

“Dengan mengenakan sekatan dan melanggar gencatan senjata, Trump mahu menjadikan rundingan ini sebagai medan penyerahan diri atau mewajarkan permusuhan baharu,” katanya di platform X.

Beliau turut menegaskan Iran tidak akan berunding di bawah tekanan, serta mendakwa Tehran kini bersedia untuk “kad baharu” di medan perang.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pula memberi amaran akan menyasarkan mana-mana kapal yang melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump menuduh Iran melanggar gencatan senjata dengan mengganggu pergerakan kapal di Selat Hormuz, dan menegaskan sekatan terhadap Tehran akan berterusan sehingga satu perjanjian dicapai.

Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata sekatan yang dikenakan telah “memusnahkan” Iran dan ia tidak akan berakhir tanpa perjanjian.

Bercakap kepada PBS News, Trump berkata Iran sepatutnya menyertai rundingan di Pakistan dan memberi amaran bahawa kegagalan gencatan senjata boleh membawa kepada peningkatan serangan.

Beliau turut memberitahu Bloomberg News bahawa lanjutan gencatan senjata selama dua minggu adalah “sangat tidak mungkin”.

Berdasarkan tempoh semasa, gencatan senjata itu dijangka tamat pada malam Selasa waktu Tehran, namun Trump berkata ia berakhir pada Rabu petang waktu Washington.

Comment