Hajiji gesa penglibatan wanita dalam ekonomi dipertingkat
16:04 Apr 22, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji gesa penglibatan wanita dalam ekonomi dipertingkat

Hajiji turut memuji Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang bekerjasama dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), dalam memperjuangkan agenda pemerkasaan wanita.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mahu lebih banyak program berfokuskan pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan dilaksanakan bagi memperkasa wanita di negeri itu.

Beliau berkata, usaha berkenaan penting untuk memastikan penyertaan wanita dalam bidang ekonomi dan kepimpinan terus dipertingkatkan.

Hajiji turut memuji Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang bekerjasama dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), dalam memperjuangkan agenda pemerkasaan wanita.

“Saya mahu melihat lebih ramai wanita terlibat secara aktif dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan yang diusahakan oleh MPWS,” katanya ketika menerima kunjungan delegasi MPWS di Menara Kinabalu, semalam.

Delegasi itu diketuai pengerusinya, Rosmawati Lasuki, yang memberi taklimat mengenai pelbagai program MPWS, termasuk inisiatif kepimpinan Global Women@Sabah (Glow@Sabah).

Menurutnya, program berkenaan bertujuan mengenal pasti wanita berpotensi sebagai pemimpin dan membimbing mereka mencapai potensi sepenuhnya.

Rosmawati turut memaklumkan mengenai sambutan Hari Wanita Negeri yang dijadual berlangsung pada 9 Sept ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi MPWS Fauziah Abu Bakar Titingan, Setiausaha merangkap Pengarah JHEWA Haslina Ismail serta ahli jawatankuasa MPWS.

Comment