PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi Op Tapis yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Suspek diberkas dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Penampang di Jalan Pantai Berahi, Putatan, pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan enam paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering yang dipercayai ganja.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 641.82 gram dengan nilai sekitar RM1,890,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain sebatan tidak kurang 12 kali.
Tambahnya, pihak polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah, khususnya pengedaran dadah, bagi membolehkan tindakan segera diambil.

