Agong berkenan hulur bantuan peribadi kepada mangsa kebakaran besar Sabah
16:04 Apr 22, 2026  |  By SabahKini2
Agong berkenan hulur bantuan peribadi kepada mangsa kebakaran besar Sabah

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah sumbangan itu akan disalurkan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bagi meringankan beban mangsa yang terkesan.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menghulurkan kurniaan peribadi bagi membantu keluarga yang terjejas dalam kejadian kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah sumbangan itu akan disalurkan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bagi meringankan beban mangsa yang terkesan.

Baginda turut menitahkan YSIJ untuk berhubung dengan kerajaan negeri Sabah bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada keluarga yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

“Ramai yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi ini. Saya mendoakan agar mangsa kebakaran diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang menimpa mereka,” titah Baginda.

Dalam kejadian Ahad lalu, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia memusnahkan kira-kira 1,000 rumah serta menjejaskan lebih 9,000 penduduk.

Kebakaran itu turut melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.

Comment