KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan komuniti kejuruteraan dalam membantu merealisasikan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau menghargai kesiapsiagaan dan komitmen Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sabah dalam menyokong usaha pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi IEM Sabah yang diketuai pengerusinya, Datuk Mohd Yaakob, di Menara Kinabalu pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, IEM Sabah turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sokongan terhadap program mereka, khususnya Persidangan Persekutuan Organisasi Kejuruteraan ASEAN (CAFEO) yang diadakan di Sabah pada Oktober 2024.
Sementara itu, Mohd Yaakob akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi IEM Sabah pada Jun ini. Beliau akan digantikan oleh Naib Pengerusi, Tan Kok Jyh.

