Minyak masak 680kg disimpan tanpa kebenaran, seorang wanita ditahan
16:04 Apr 23, 2026  |  By SabahKini2
Minyak masak 680kg disimpan tanpa kebenaran, seorang wanita ditahan

Hasil pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor mendapati sebanyak 680 kilogram minyak masak paket atau kira-kira 40 kotak disimpan tanpa kelulusan Pengawal Bekalan.

SEMPORNA: Taktik seorang wanita warga asing menyimpan minyak masak paket di sebuah premis tidak berlesen di Kampung Batu, di sini, terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi semalam.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat daripada Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak.

Hasil pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor mendapati sebanyak 680 kilogram minyak masak paket atau kira-kira 40 kotak disimpan tanpa kelulusan Pengawal Bekalan.

“Kesemua barang kawalan itu disyaki disimpan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1,700,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang wanita warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil.

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya bagi individu.

“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan seterusnya,” katanya.

Comment