KOTA KINABALU: Sabah dipilih sebagai hab ekonomi biru negara dalam usaha memperkukuh daya saing serta memastikan kemampanan ekonomi berasaskan sumber laut.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman, berkata pemilihan itu mengambil kira potensi besar sumber lautan di negeri berkenaan serta kedudukannya yang strategik bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif ekonomi biru.
Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), ekonomi biru menjadi antara strategi utama untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Sabah merangka hala tuju ekonomi biru berasaskan lima komponen utama, termasuk penuaian sumber hidup, pengekstrakan sumber tidak hidup dan penjanaan sumber baharu, perdagangan serta perniagaan berkaitan lautan, serta tindak balas terhadap cabaran kesihatan laut dan sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke-17 di Kota Kinabalu, hari ini.
Musa berkata, penubuhan Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) akan menyelaras serta melaksanakan dasar strategik berkaitan sektor itu di peringkat negeri.
Katanya, kajian dan pelan induk bagi pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat sedang dilaksanakan bagi mewujudkan ekosistem industri lebih terancang dan mampan.
Selain itu, kerajaan negeri turut merancang pelaksanaan dasar Perancangan Marin Spatial bagi mengenal pasti potensi industri ekonomi biru secara menyeluruh.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

