KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyasarkan ketibaan lebih empat juta pelancong ke Sabah selaras dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus mempergiat usaha menjadikan sektor pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi negeri.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata agenda pelancongan turut diperkukuh melalui perancangan penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai strategi jangka sederhana untuk meningkatkan daya tarikan negeri di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kerajaan negeri memberi penekanan serius terhadap aspek keselamatan di kawasan pelancongan melalui pemantauan berterusan serta pematuhan kepada standard dan peraturan sedia ada.
“Langkah penambahbaikan prosedur keselamatan bagi aktiviti pelancongan berisiko turut dilaksanakan mengikut amalan terbaik antarabangsa bagi memastikan keyakinan pelancong kekal tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar kerajaan sempena istiadat pembukaan penggal pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pembangunan sektor pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) akan memberi fokus kepada kepelbagaian produk baharu, peningkatan nilai tambah berasaskan budaya dan alam sekitar serta penglibatan komuniti setempat.
“Usaha memartabatkan khazanah budaya dan industri kreatif turut diperkukuh melalui pemulihan serta penambahbaikan infrastruktur berkaitan, termasuk pembangunan ruang pameran baharu dan sokongan kepada penggiat seni tempatan,” katanya.
Kerajaan negeri turut memperhebat pembangunan infrastruktur pengangkutan bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi secara keseluruhan.
Antara inisiatif utama termasuk pembinaan alat bantu pelayaran serta penambahbaikan fasiliti maritim bagi meningkatkan keselamatan pelayaran.
Selain itu, pembangunan Terminal Feri Menumbok Fasa Empat dan Lima serta beberapa jeti awam di lokasi strategik dirancang bagi memperkukuh jaringan pengangkutan laut.
Kajian kebolehlaksanaan sistem kereta api moden dari Putatan ke Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar juga sedang dilaksanakan bagi memperkukuh sistem logistik negeri.
Pada masa sama, kajian Sabah Sustainable Transport Master Plan bakal menjadi rangka kerja strategik jangka panjang dalam membangunkan sistem pengangkutan awam yang lestari, selamat dan efisien.
Program Transformasi Bas Berhenti-henti di Kota Kinabalu turut dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.
Gabungan usaha memperkasa sektor pelancongan dan pembangunan infrastruktur ini dijangka mampu meningkatkan daya saing Sabah sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan utama di rantau ini.

