KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkukuh agenda pendigitalan negeri dengan memberi tumpuan terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran awam serta memperbaiki keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut merupakan antara teras utama dalam ucapan dasar kerajaan yang menekankan keperluan sistem pentadbiran berasaskan data, lebih efisien dan responsif terhadap keperluan semasa.
Menurut beliau, penggunaan AI dijangka dapat memperkemas pengurusan data kerajaan, mempercepat proses membuat keputusan serta mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah manual yang kurang efisien dari segi masa dan sumber.
“Teknologi ini turut membolehkan agensi kerajaan mengenal pasti keperluan rakyat dengan lebih tepat melalui analisis data yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena istiadat pembukaan penggal pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.
Seiring perkembangan tersebut, kerajaan negeri turut memperkenalkan pembangunan aplikasi digital dan platform perkhidmatan awam yang lebih mesra pengguna sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem digital negeri.
Dalam masa yang sama, keupayaan digital penjawat awam terus diperkasa bagi memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat, khususnya dalam penggunaan sistem berasaskan AI.
Bagi menyokong pembangunan ekosistem berkenaan, kerajaan negeri turut merangka garis panduan penggunaan AI serta mempertimbangkan penubuhan Pusat Mini AI di Sabah.
Selain itu, aspek keselamatan siber turut diberi penekanan melalui pelaksanaan Program Pemerkasaan Keselamatan Siber Negeri Sabah bagi melindungi infrastruktur digital dan aset maklumat kerajaan daripada ancaman siber.
Usaha memperluas capaian internet berkelajuan tinggi turut diteruskan bagi memastikan akses digital dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh seluruh lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar.
Dalam aspek pembangunan ekonomi jangka panjang, Tun Musa berkata pembangunan modal insan kekal menjadi agenda utama negeri, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa.
Kerajaan negeri, katanya, terus memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pembangunan kurikulum berasaskan keperluan industri serta analisis jurang kemahiran.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan tenaga kerja tempatan lebih berdaya saing dan relevan dengan perubahan landskap ekonomi serta teknologi global,” katanya.
Beliau menambah, usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dan tenaga kerja akan terus diperkasa bagi menyokong daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Pendekatan bersepadu antara pendigitalan dan pembangunan modal insan itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sabah yang lebih mampan dan berdaya saing.

