Kerajaan Sabah perhebat usaha mitigasi iklim melalui SCAC
16:04 Apr 28, 2026  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah perhebat usaha mitigasi iklim melalui SCAC

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, berkata langkah itu diambil berikutan Sabah dikenal pasti sebagai antara negeri paling terdedah kepada impak perubahan iklim.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melalui Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) sedang giat membangunkan pelan mitigasi dan adaptasi bagi menangani isu perubahan iklim yang semakin mendesak.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, berkata langkah itu diambil berikutan Sabah dikenal pasti sebagai antara negeri paling terdedah kepada impak perubahan iklim.

Menurut beliau, pelan berkenaan dibangunkan melalui kerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), berdasarkan kajian penilaian kerentanan serta adaptasi perubahan iklim di negeri ini.

“Ketika ini, kerajaan negeri sedang mempertingkat kapasiti pelbagai agensi dalam pengumpulan data Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) bagi memastikan pelaporan sejajar dengan garis masa negara kepada UNFCCC,” katanya.

Tambah beliau, usaha turut dilakukan bagi mengenal pasti faktor khusus di Sabah bagi membolehkan pembangunan inventori GHG yang lebih tepat dan relevan dengan konteks tempatan.

Dalam perkembangan sama, SCAC turut meneliti pelbagai projek mitigasi serta cadangan pembangunan projek karbon di negeri ini.

Ceasar berkata, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah (SaCRIC) susulan pewartaan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.

“Pusat ini akan menyelia penguatkuasaan enakmen tersebut serta mengawal selia semua aktiviti karbon di Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata, SCAC kini dalam proses merangka dan menggubal peraturan berkaitan sebagai persediaan ke arah pengoperasian rasmi pusat berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan SCAC akan bertindak sebagai badan induk dalam merangka Dasar Perubahan Iklim Negeri yang mengambil kira keunikan ekologi serta landskap sosioekonomi Sabah.

“Ia juga bagi memastikan segala dasar dan inisiatif negeri diselaraskan dengan agenda nasional serta komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mengenai status pelaksanaan SCAC sejak penubuhannya pada 2024, termasuk struktur, peranan dan pelan tindakan badan tersebut.

Comment