KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membuat pembayaran segera bagi bahagian 40 peratus hasil Persekutuan yang tidak dipertikaikan, melibatkan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cukai tidak langsung Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah bagi tahun 2025 dianggarkan berjumlah RM3.019 bilion daripada keseluruhan RM7.547 bilion hasil Persekutuan yang dikutip di negeri itu.
Menurut beliau, kerajaan negeri berpendirian bahawa sebahagian hasil cukai tersebut tidak mempunyai pertikaian kerana data kutipan telah pun disiarkan secara tahunan kepada umum.
“Kerajaan negeri telah menghantar surat pada 10 April 2026 agar Kerajaan Persekutuan membayar dahulu 40 peratus daripada dua jenis cukai yang tidak dipertikaikan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Alias Sani (WARISAN–Sekong) berkaitan jumlah kutipan cukai pendapatan LHDN di Sabah.
Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Chong Chen Bin berkata beberapa komponen hasil telah dikenal pasti dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, termasuk cukai langsung, cukai tidak langsung, hasil bukan cukai serta hasil petroleum seperti royalti dan cukai pendapatan petroleum.
Menurut beliau, beberapa siri mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas telah diadakan pada 28 Januari, 27 Februari dan 13 Mac 2026 bagi memperincikan mekanisme pengiraan.
Kerajaan Persekutuan turut mengemukakan data hasil dari Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2025, namun data berkenaan hanya digunakan untuk tujuan rundingan dan tidak dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.
“Semua komponen hasil masih tertakluk kepada rundingan untuk dimuktamadkan sebagai asas pengiraan Pemberian Khas,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah dalam surat bertarikh 18 Mac 2026 menegaskan supaya bayaran interim dibuat bagi komponen hasil yang tidak dipertikaikan, manakala selebihnya diselaraskan selepas rundingan selesai.
Tambahnya, bayaran interim Pemberian Khas bagi tahun 2026 sebanyak RM600 juta juga perlu disemak semula agar selaras dengan formula 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 April 2026 yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil Persekutuan sementara menunggu proses rayuan.
Keputusan tersebut melibatkan tuntutan bagi tempoh “tahun hilang” (1974 hingga 2021).
Bagaimanapun, Sabah menegaskan tuntutan bagi tahun semasa dan tempoh 2022 hingga 2025 perlu diselesaikan segera, selaras dengan pendirian Kerajaan Persekutuan yang tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak 40 peratus tersebut.
“Kerajaan negeri tidak akan berundur dalam menuntut hak mutlak Sabah. Rundingan dan proses perkongsian data akan diteruskan,” katanya.

