Sabah sedia tapak perkuburan berpusat, tampung keperluan Islam Sandakan
17:04 Apr 30, 2026  |  By SabahKini2
Sabah sedia tapak perkuburan berpusat, tampung keperluan Islam Sandakan

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Isnin Aliasnih berkata, kawasan seluas 65 ekar itu merupakan antara langkah jangka panjang bagi menangani kekurangan tapak perkuburan di Sandakan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyediakan kawasan perkuburan Islam berpusat di Taman Perkuburan Ar Raudah Batu 11, Sandakan dengan kapasiti sehingga 36,400 lot bagi menampung keperluan masyarakat Islam di daerah itu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Isnin Aliasnih berkata, kawasan seluas 65 ekar itu merupakan antara langkah jangka panjang bagi menangani kekurangan tapak perkuburan di Sandakan.

Beliau menjawab soalan Alex Thien Ching Qiang (Warisan-Tanjong Papat) yang membangkitkan isu kekurangan tanah perkuburan Islam di Kampung Berhala Darat, yang kini telah mencapai kapasiti maksimum, serta perkembangan tapak baharu.

Menurut Isnin, hanya 0.75 ekar tanah dapat disediakan sebagai tambahan berhampiran kawasan sedia ada di kampung tersebut.

“Namun keluasan ini masih tidak mencukupi dan tiada lagi kawasan lain yang sesuai di kampung berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, kerja naik taraf di kawasan tambahan itu sedang giat dijalankan dan dijangka siap menjelang Julai 2027.

Dalam pada itu, Isnin turut memaklumkan bahawa kejadian tanah runtuh dua bulan lalu telah menjejaskan kira-kira 50 lot kubur di kawasan perkuburan baharu.

Katanya, pihaknya telah meminta Pejabat Mufti Negeri Sabah mengeluarkan fatwa berhubung situasi tersebut, dan waris diminta memindahkan kubur yang terjejas.

“Waris tidak dibenarkan memindahkan kubur ke kawasan sama kerana kerja naik taraf masih berjalan.

“Sebaliknya, mereka perlu memindahkan kubur ke Taman Perkuburan Ar Raudah Batu 11,” katanya.

Comment